Abas Mohamad

Tuan Guru Dato' Haji Abbas bin Muhammad ialah seorang agamawan dan tokoh pendidik di Malaysia. Beliau merupakan pengasas kepada beberapa buah sekolah di Terengganu, antaranya Sekolah Menengah Agama Maarif, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring dan Madrasah Nurul Ittifaq[1]. Beliau juga pernah dilantik sebagai senator bagi negeri Terengganu dalam Dewan Negara. Beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah negeri Terengganu pada 1988 dan Tokoh Guru Negeri Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali lagi dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia[2].Haji Abas mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Muhammad bin Haji Hussein, Kuala Besut. Kemudian ketika berusia 14 tahun beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Mekah selama 8 tahun. Dari Mekah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al-Islamiah, Gujerat ketika berusia 22 tahun. Setelah pulang ke tanah air, 4 tahun kemudian beliau datang kembali ke India meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband selama setahun pada tahun 1938.